Connect with us

DAKWAH DAN ISLAM

Ramai Yang Salah Memberi Nafkah Antara Isteri dan Ibu Bapa

Published

on

Tidak sedikit isu dalam rumah tangga yang timbul setelah berkahwin yang melibatkan hubungan dengan ahli keluarga, ibu bapa sendiri dan juga mentua. Kadang-kadang ia berkait dengan isu nafkah, komunikasi dan persefahaman, cara menguruskan rutin harian dan lain-lain. Jika tidak diuruskan dengan bijak, ia boleh menjadi berkecamuk dan mengundang perselisihan yang lebih besar.

Terlebih dahulu kita perlu memahami apa yang dimaksudkan dengan nafkah. Nafkah ialah sesuatu yang dikeluarkan oleh seorang suami untuk keluarganya berupa makanan, pakaian, tempat tinggal, pembiayaan ubat-ubatan dan hal-hal lain yang menjadi keperluan hidup.

Hukum bagi seorang suami memberikan nafkah adalah wajib mengikut kemampuannya. Namun hal yang biasa juga menjadi kekeliruan adalah aturan keutamaan memberi nafkah – adakah buat isteri atau ibu bapanya terlebih dahulu?

Jom kita lihat apa kata pihak Mufti Wilayah Persekutuan.

Secara ringkasnya menurut para ulama, aturan nafkah adalah seperti berikut:

  1. Diri sendiri
  2. Isteri dan anak-anak
  3. Ibu bapa
  4. Kaum kerabat yang lain

Daripada Jabir R.A, Rasulullah SAW bersabda:

ابْدَأْ بِنَفْسِكَ فَتَصَدَّقْ عَلَيْهَا ، فَإِنْ فَضَلَ شَيْءٌ فَلِأَهْلِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ أَهْلِكَ شَيْءٌ فَلِذِي قَرَابَتِكَ ، فَإِنْ فَضَلَ عَنْ ذِي قَرَابَتِكَ شَيْءٌ فَهَكَذَا وَهَكَذَا

Maksudnya: “Mulakan nafaqah dengan dirimu. Jika berbaki, berikanlah kepada ahli keluargamu. Jika masih berbaki, berikanlah kepada saudara-maramu yang terdekat dan jika masih berbaki lagi, berikanlah kepada mereka dan seterusnya.” (Riwayat al-Bukhari, no.6763 dan Muslim, no.997)

Makna perkataan ‘فَلِأَهْلِكَ’ dalam hadis di atas menunjukkan lebih kepada isteri dan anak-anak, justeru pemberian nafkah kepada mereka adalah lebih utama selepas diri sendiri.

Walau bagaimanapun, perlu difahami, jika dalam keadaan darurat dan ibu bapa lebih memerlukan bantuan berbanding isteri, maka ketika itu hendaklah diberikan kepada ibu bapa.

Ulama menyepakati bahawa seorang anak tidak wajib memberi nafkah kepada ibu bapa kecuali dalam dua keadaan:

  • Ibu bapanya miskin dan memerlukan bantuan
  • Anak tersebut mempunyai lebihan harta selepas nafkah yang diberikan kepada keluarganya. Syarat ini disepakati oleh para ulama’.

Secara kesimpulannya, nafkah kepada isteri perlu didahulukan kecuali dalam keadaan ibu bapa yang tidak berkemampuan dalam menyediakan ubatan, rawatan dan makan minum yang menjadi asas kehidupan. Ketika itu hendaklah didahulukan bagi mereka meneruskan kehidupan.

Dalam hal ini juga, seseorang perlu berbincang dengan adik-beradik yang lain untuk sama-sama memikul tanggungjawab membantu, menjaga dan berkhidmat kepada ibu bapa agar ia tidak terbeban kepada seorang anak sahaja. Wallahua’lam.

Sumber: Mufti Wilayah Persekutuan

Continue Reading
Advertisement
Click to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Trending

error: Content is protected !!